Dalam era perkembangan sains dan teknologi zaman ini,
berbagai-bagai peralatan baru dan canggih muncul bagaikan
cendawan. Salah satu daripada peralatan tersebut, yang dimiliki
oleh kebanyakan orang pada masa kini ialah telefon.
Tidak dinafikan bahawa tuntutan keperluan hidup di zaman yang serba
canggih dan moden ini menjadikan penggunaan telefon seakan-akan
satu kemestian kerana kewujudannya banyak membantu mempermudahkan tugas
dan pekerjaan. Di samping itu, ia juga mampu mempermudahkan perhubungan
sesama kaum keluarga, sanak-saudara, rakan-taulan dan sebagainya.
Selain aplikasi-aplikasi perhubungan, terdapat juga berbagai jenis
dan bentuk aplikasi yang lain seperti aplikasi-aplikasi peringatan
waktu sembahyang, penunjuk arah qiblat, maklumat, berita,
permainan game dan sebagainya yang boleh diakses dengan beberapa
petikan jari sahaja.
Penggunaan telefon ini tidaklah menjadi kesalahan selama mana
kemudahannnya tidak digunakan ke arah sesuatu yang menyalahi hukum Syara‘.
Namun apa yang merungsingkan, keghairahan terhadap penggunaan telefon ini ada kalanya boleh menyebabkan sebilangan orang lalai dan
terlalu asyik sehingga mereka sentiasa membawa dan menggunakannya
tanpa mengira kesesuaian masa dan tempat. Bahkan ada kalanya
ketika sembahyang pun telefon ini akan dibawa bersama
tanpa mematikan (switch off) atau menutup bunyinya terlebih
dahulu. Maka akan kedengaranlah bunyi-bunyi nada dering dan sebagainya yang
pastinya akan mengganggu kekhusyukan pemiliknya dan kekhusyukan jemaah
yang lain jika bersembahyang jemaah. Bukti yang paling nyata dapat dilihat
dengan jelas ketika perhimpunan Sembahyang Fardhu Jumaat. Ketika khatib
sedang membacakan khutbah Jumaat, akan kelihatan segelintir
jemaah tanpa rasa segan silu menggunakan telefon untuk menghantar pesanan ringkas (sms), berkomunikasi melalui halaman
rangkaian sosial, melayari halaman internet, bermain game dan
sebagainya. Apakah pandangan Syara‘ mengenai perkara ini?
1. Tuntutan Diam Ketika Khatib
Membaca Khutbah Jumaat
Khutbah merupakan salah satu daripada lima syarat sah Sembahyang Fardhu
Jumaat. Ia adalah wasilah terbaik untuk menyampaikan dan menerima nasihat,
peringatan serta mesej-mesej ukhrawi dan duniawi kepada masyarakat Islam.
Ini kerana pada hari Jumaat, kaum muslimin duduk berhimpun
dan sembahyang bergandingan di antara satu dengan yang lain,
tanpa mengira bangsa, pangkat ataupun rupa.
Sunat bagi orang yang menghadiri Sembahyang Fardhu Jumaat menghadapkan
muka ke arah imam (ke arah qiblat) kerana menurut Imam Khatib Asy-Syarbini
Rahimahullah, ini adalah adab, dan selain itu ianya sekaligus membolehkan
mereka tetap menghadap qiblat. Perbuatan ini juga sekaligus
lebih mempermudahkan seseorang itu untuk menumpukan sepenuh
perhatian terhadap khutbah Jumaat yang disampaikan oleh khatib.
perhatian terhadap khutbah Jumaat yang disampaikan oleh khatib.
Disunatkan juga bagi jemaah untuk diam dan mendengar khutbah Jumaat dan
makruh bagi mereka berkata-kata sepertimana yang dijelaskan dalam sebuah
hadits riwayat daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, bahawasanya
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda:
“Jika engkau mengatakan kepada sahabatmu “dengarkanlah
(khutbah)” padahal imam pada waktu itu sedang berkhutbah, maka
sesungguhnya engkau benar-benar telah berkata sia-sia.” (Hadits
riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Maksud “sia-sia” di sini ialah bertentangan dengan sunnah, adab, dan
mengakibatkan rugi pahala dan kelebihan-kelebihan Sembahyang Fardhu Jumaat
walaupun sembahyangnya masih dikira sah.
Dapatlah difahami daripada hadits ini bahawa apa pun jenis
katakata mahupun perbualan adalah dilarang sama sekali ketika khutbah
Jumaat sedang dibacakan atau disampaikan. Ini kerana jika kata-kata
seorang jemaah yang menyuruh seorang jemaah yang lain supaya diam dan
mendengar khutbah itu pun sudah dikategorikan sebagai sia-sia, sedangkan
perbuatan itu merupakan satu suruhan ke arah kebaikan, maka apatah lagi
kata-kata biasa atau perbualan kosong semata-mata.
Akan tetapi tidak makruh ke atas orang yang mendengar khutbah Jumaat
itu berkata-kata jika terdapat darurat, misalnya kerana hendak
menyelamatkan orang buta yang hampir terjatuh ke dalam parit atau
ternampak binatang berbisa seperti kala jengking atau ular menghampiri
seseorang. Maka dalam hal seperti ini, tidaklah dilarang orang yang
mendengar khutbah Jumaat itu berkata-kata, bahkan wajib baginya melakukan
demikian. Akan tetapi lebih baik (sunat) baginya untuk menggunakan isyarat
sahaja jika dia mampu mengelakkan daripada berkata-kata.
Menurut Imam An-Nawawi Rahimahullah, bagi mereka yang dapat mendengar
khutbah, diam mendengarkan khutbah Jumaat itu adalah lebih utama daripada
membaca al-Qur’an, berzikir dan sebagainya. Ini kerana terdapat qaul
(pendapat) yang mengatakan bahawa diam untuk mendengar khutbah Jumaat itu
adalah wajib.
Adapun bagi orang yang tidak dapat mendengar khutbah pula, misalnya
kerana duduk jauh daripada imam ataupun suara imam tidak dapat didengar,
maka adalah lebih utama baginya pada ketika itu membaca al-Qur‘an
terutamanya Surah Al-Kahfi, bersalawat, bertasbih, berzikir dan sebagainya
dengan suara yang perlahan supaya tidak mengganggu jemaah-jemaah yang
lain.
2. Hukum Menggunakan Telefon Ketika Khutbah Jumaat
Adapun perbuatan menggunakan telefon ketika khatib membaca
khutbah Jumaat boleh diqiyaskan kepada maksud sebuah hadits sahih yang
diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, bahawasanya Nabi
Shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda:
Maksudnya: “Sesiapa yang berwudhu dan menyempurnakan wudhunya, kemudian
dia (pergi ke masjid) untuk menunaikan Sembahyang Fardhu Jumaat, lalu
mendengar dan tidak bercakap (ketika khutbah disampaikan), maka diampuni
dosa-dosanya yang ada di antara hari Jumaat itu dan hari Jumaat berikutnya
dan ditambah tiga hari lagi. Dan sesiapa yang bermain-main
dengan anak-anak batu (ketika khutbah), maka dia telah berbuat
sia-sia”. (Hadits riwayat Muslim)
Dalam hadits ini, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dengan jelas
telah menegaskan bahawa barangsiapa yang bermain-main dengan anak-anak
batu ketika khutbah Jumaat itu telah melakukan suatu perbuatan yang
sia-sia. Maksud “sia-sia” dalam hadits ini sepertimana yang telah
diterangkan sebelum ini ialah bertentangan dengan sunnah, adab dan
mengakibatkan rugi pahala dan kelebihan-kelebihan Sembahyang Fardhu Jumaat
walaupun sembahyangnya masih dikira sah.
Menurut ulama, larangan dalam hadits tersebut tidak hanya terbatas
terhadap bermain dengan anak batu sahaja, bahkan larangan tersebut
menyeluruh terhadap semua perbuatan yang boleh menjejaskan tumpuan
terhadap khutbah Jumaat.
Jika dinilai dan diteliti, perbuatan menggunakan telefon ketika
khutbah dibacakan ini adalah lebih buruk lagi daripada perbuatan bermain
dengan anak batu kerana perbuatan seperti bermain game, melayari halaman
internet, berkomunikasi melalui halaman rangkaian sosial dan sebagainya
itu adalah sangat jelas lebih menghilangkan kekhusyukan dan menjejaskan
tumpuan terhadap khutbah Jumaat.
Jadi sangat jelas di sini bahawa perbuatan menggunakan telefon
ketika khatib membaca khutbah Jumaat adalah suatu perbuatan yang
bertentangan dengan sunnah dan adab yang menuntut kita supaya diam dan
meninggalkan segala perbuatan yang boleh menjejaskan tumpuan terhadap
khutbah Jumaat. Oleh itu, perbuatan ini sayugianya ditinggalkan kerana
ianya mengakibatkan kerugian yang sangat besar, iaitu kehilangan
pahala dan kelebihan-kelebihan Sembahyang Fardhu Jumaat.
Perhimpunan Sembahyang Fardhu Jumaat itu bukannya lama, tidak ada
kerugian apa-apa jika telefon ditutup seketika atau langsung tidak
perlu di bawa ke dalam masjid. Tinggalkanlah buat seketika segala perkara
dan urusan duniawi yang kurang penting apatah lagi yang sia-sia.
Hadirkanlah hati dan seluruh anggota tubuh badan zahir dan batin, dan
isikan seluruh jiwa raga dengan perisian rasa khusyu‘, taat, taqwa dan
penghambaan yang mutlak terhadap Allah Subhanahu wa Ta‘aala untuk
mendengarkan khutbah dan seterusnya mendirikan Sembahyang Fardhu Jumaat.
0 komentar:
Posting Komentar