Sebagai umat Islam, kita sadar dan meyakini bahwa Allah SWT telah
mengutuskan kekasihNya Nabi Muhammad SAW sebagai utusan untuk menyampaikan
risalah Islam kepada seluruh manusia. Berdasarkan sirah baginda Rasulullah
sendiri kita mampu melihat betapa sosok tubuh insan yang agung ini telah
melalui jerit perih perjuangan untuk menyampaikan Islam kepada manusia.
Jelas
terkandung di dalam surah dengan berbagai peristiwa berbentuk peperangan,
membentuk perundangan, persahabatan, kekeluargaan dan pembinaan masyarakat yang
bersendikan syariat daripada Allah SWT. Melalui kisah-kisah dan peristiwa yang
ada, hati kita pasti tersentuh dengan kecekalan dan kesabaran Baginda
Rasulullah SAW untuk kekal istiqamah dalam menyebarkan ajaran Islam kepada
manusia meskipun berhadapan dengan tentangan yang tidak pernah terhenti.
Pasti ramai yang sedia maklum bagaimana Rasulullah pernah dibaling dengan
batu oleh penduduk Taif sewaktu Baginda berdakwah di sana. Sehinggakan malaikat
Jibril menawarkan kepada Baginda untuk membalikkan bukit ke atas bumi Taif.
Akan tetapi atas keluhuran pekerti Baginda, Rasulullah sebaliknya menghalang
Jibril daripada berbuat demikian dan mengharapkan agar generasi Taif yang seterusnya
akan beriman kepada Allah dan Rasulnya.
Kita
juga pasti mengetahui satu peristiwa yang berlakuk ke atas Baginda semasa
peperangan uhud. Hiruk pikuk peperangan dengan golongan musyrikin setelah
kumpulan pemanah di Bukit Uhud mengingkari perintah Baginda, pihak musuh telah
berjaya menyerang Baginda sehingga menyebabkan patah gigi Baginda. Sehinggakan
para sahabat terpaksa melindungi Baginda daripada terus diserang.
Sewaktu di Mekah lagi Baginda telah menghadapi tentangan dan sikap kurang
ajar dari Abu Jahal dan kawan-kawannya. Diceritakan bahwa pernah satu
ketika saat Rasulullah sedang sujud, Uqbah bin Abi Muit telah bertindak
meletakkan najis unta di atas belakang Baginda. Baginda hanya bangkit semula
setelah puteri Baginda iaitu Siti Fatimah datang untuk membuang najis tersebut.
Begitu banyak lagi kisah perjuangan yang dilalui oleh Baginda Rasulullah SAW
dalam menyampaikan dakwah kepada manusia agar beriman dan menyembah Allah SWT.
Hati yang membaca pasti tersentuh dengan ketabahan Baginda menghadapi segala
rintangan tersebut dengan tenang dan istiqamah.
Akan
tetapi, apa yang berlaku baru-baru ini agak mendukacitakan. Tindakan yang dikira
agak melampau dan tidak menjaga sensitivity masyarakat oleh beberapa individu
antar-Islam. Penerbitan filem “Innocent of Muslim” yang terkandung di dalamnya
babak berbentuk penghinaan kepada Nabi Muhammad SAW merupakan satu perkara yang
tidak boleh diterima. Golongan seperti ini wajar dikritik dengan sekerasnya.
Umat Islam secara seluruhnya perlu menunjukkan solidariti untuk menentang
penghinaan yang tidak bertanggungjawab ini. Usaha beberapa pihak yang
mengadakan himpuna pada hari Jumaat yang lalu di beberapa masjid terpilih
sebagai menunjukkan kecintaan kita pada Rasulullah dan kemarahan kepada pihak
yang terlibat merupakan satu tindakan yang wajar dipuji serta disokong.
Semua pimpinan Negara Islam di seluruh dunia perlu mengambil langkah yang
sewajarnya untuk mengkritik secara terbukan tindakan individu yang terbabit.
Desakan yang dilakukan oleh Presiden Mesir iaitu Dr Morsi yang mendesak
kerajaan Amerika Syarikat mengambil tindakan kepada semua individu yang
terlibat dalam pembikinan filem tersebut wajar diikuti oleh semua pemimpin di
Negara Islam yang lain termasuk di Malaysia.
Seluruh umat Islam juga patut memainkan peranan masing-masing untuk
menangkis semula salah faham yang disebarkan daripada filem tersebut. Medium
seperti penulisan, video dan infografik wajar dimanfaatkan sebaiknya untuk
menangani isu sebegini. Umat Islam tidak seharusnya memandang enteng kejadian
sebegini. Kecintaan dan kasih kita kepada Rasulullah SAW wajar diterjemahkan ke
dalam amali dan praktikal yang mampu memberi kesan dan impak kepada masyarakat.
Namun begitu, satu perkara yang harus diingati oleh setiap individu muslim
agar menjaga batas-batas yang sepatutnya dalam mengkritik atau menentang.
Tindakan membunuh pegawai kedutaan Amerika yang berlaku di Libya merupakan satu
perkara yang tidak menepati prinsip Islam. Umat Islam wajar menunjukkan cara
yang baik dalam melontarkan bantahan dan penentangan terhadap isu sebegini
kerana inilah cara yang lebih dekat dengan apa yang diajarkan oleh Nabi
Muhammad SAW sendiri.
Sumber : http://www.islamituindah.my/membela-rasulullah-saw
0 komentar:
Posting Komentar